Wednesday, 1 August 2012


Analisis Cerpen

            Daripada cerpen “ Hantu raya tanah lembah” oleh Maharam Mamat, terdapat 3 watak utama iaitu Inah,Abang Seman dan Mak Nik.
Perwatakan Inah di dalam cerpen ini menunjukkan dia seorang perempuan yang tidak mudah mengalah . Contohnya,di dalam situasi Inah diarahkan untuk berpindah daripada rumah sendiri,Inah tidak terus akur tetapi menegakkan kebenaran. Bukan itu saja, malah Inah juga seorang yang bijak kerana dapat lulus dengan cemerlang dalam SPM. Dia juga seorang yang baik hati, kerana tidak menghalau ibu tirinya dari rumah malah, dia menjaga ibu tirinya seperti ibunya sendiri. Di dalam situasi Mak Nik bersedih kerana anaknya, Abang Seman keluar dari rumah,Inah masih tetap menjaganya. Begitu juga apabila Abang Seman ditangkap polis.
Bagi Abang Seman pula, dia seorang pemarah,pendendam dan mempunyai niat buruk terhadap orang lain. Dalam cerpen ini,Abang Seman mencuri rantai ibunya sendiri dan meletakkan di bawah bantal Sedi, agar masyarakat menganggap Sedi yang mencurinya. Bukan itu saja, Abang Seman melakukan hal-hal lain seperti mencuri, pecah masuk,merosakkan tanaman di kampung dan menuduh orang lain yang melakukannya. Dia juga menyebabkan orang kampung takut untuk ke tanah lembah di tepi sungai kerana dipercayai ada hantu raya yang berkeliaran yang sebenarnya dirancang oleh Abang Seman. Dia juga menanam ganja di tanah lembah itu. Tujuan Abang Seman melakukan hal seperti itu adalah untuk membuat Inah dan Sedi keluar daripada rumah dan mengambil alih harta iaitu tanah dan rumah yang ditinggalkan oleh arwah ayah Inah. Selain itu,Abang Seman juga ingin membalas dendam,kerana selama arwah ayah Inah masih hidup, Inah amat disayangi oleh ayahnya dan Inah juga seorang pelajar yang bijak.
Mak Nik ialah seorang yang penyayang dan tidak pilih kasih. Dia menyayangi Inah sama seperti dia menyayangi Abang Seman. Mak Nik sangat menyayangi anaknya iaitu Abang Seman sehingga terlalu memanjakan Abang Seman menyebabkan dia melakukan hal-hal yang salah di sisi undang-undang dan tidak berani untuk memarahi anaknya yang telah memukul Sedi . Mak Nik juga seorang ibu yang baik kerana tidak membeza-bezakan antara anaknya dan anak tirinya, walaupun suaminya telah meninggal dunia.
Secara ringkasnya ,  Abang Seman melakukan hal sedemikian kerana tidak mempunyai emosi yang stabil dan mempunyai situasi yang sukar pada waktu itu. Dia berasa iri hati terhadap Inah, kerana dia sebagai seorang lelaki ingin mewarisi peninggalan harta arwah ayah Inah. Abang Seman juga tidak berpuas hati kerana merasakan arwah ayah Inah tidak menyayangi dia sama seperti dia menyayangi Inah. Dapat disimpulkan,perwatakan dan situasi di dalam cerita ini agak menarik kerana kita dapat melihat perwatakan mereka yang  lahir daripada emosi mereka dan situasi pada waktu itu.