CERPEN HANTU RAYA TANAH LEMBAH
- Maharam Mamat –
“SEJAK kau dan budak Sedi tu balik,kampung ni jadi huru-hara.Ada saja
yang hilang,daripada getah keping hingga baja”.Abang Seman bersuara. Aku
pandang Mak Nik yang hanya diam sahaja.
“Dulu aman.Kalau ikutkan hati ,kau dah aku halau! Sedi aku
cincang sampai lumat. Menyusahkan orang sahaja. Kalau keturunan penyagak
tu,penyagak juga ! “ Abang Seman nampaknya marah benar.Penumbuk dilepaskan ke
tapak tangan . Dia berjalan hilir mudik seperti duduknya terganggu. Macamlah
kerusi itu ditimbun bara.
“Beginilah kalau dalam kampung ni ada pencuri…. penyagak.
Tak kira harta siapa , disapunya….” Abang Seman melepaskan geramnya.
Aku diam. Tidak kuasa menjawab mulutnya sebab makin
ditentang makin gila jadinya.
“ Aku rasa lebih baik kau sewa rumah di pecan tu”, cadang
Abang Seman.
Darahku terasa tersirap ke muka.Aku pandang Abang Seman
dengan rasa meluat . Dia tidak berhak mencaturkan hidupku.
“ Ini rumah Inah,mengapa mesti sewa rumah orang?”
“ Aku tahu ,tapi keadaan telah !”
“ Kenapa mesti takut kalau tak buat?”
Abang Seman mendengus .Langkahnya panjang turun tangga dan
hilang ke dusun. Aku tahu Abang Seman marah tapi aku tetap dengan keputusanku
sendiri.
“ Fikir dalu , Inah, Mungkin ada baiknya “. Mak Nih
bersuara . Aku hanya pandang wajah ibu tiriku dan berlalu dari situ . Tidak
perlu rasanya ku ulangi kata-kata yang sama.
* * *
“Mereka anggap aku yang lakukan kerja-kerja tu?”
Sedih suara Sedi.
Aku hanya mampu mengeluh.Memang itu nasib kami yang dicap
sebagai penjenayah. Kepulangan kami sudah tidak diterima lagi. Apakah kami ini
benar-benar sampah ?
“Dulu pun kita tak buat…”
“Dulu lain,Inah. Sekarang lebih berat.” Aku diam. Kata-kata
Sedi ada benarnya. Wajah Sedi yang tenang kutatap lama.
“ Hati-hati,mereka seperti tidak menerima kita,” pesanku
kepadanya.
Dia memang seorang lelaki yang tabah ,sanggup menerima
hukuman atas perbuatan orang lain,sebagaimana aku. Kami difitnah mencuri rantai
leher Mak Nik. Tuduhan itu telah membunuh ayah kerana diserang sakit jantung
dan aku dihantar ke pusat pemulihan akhlak.
“ Inah balik dulu. Di belakang nama kita ada naga sedang
mengganas.” Aku seperti yakin dengan kata-kata sendiri. Sedi hanya mendiamkan
diri.
“ Jahanam! Jahanam semuanya ! “ Abang Seman bertempik kuat
pagi itu.Aku berlari ke biliknya. Mak Nik terduduk di muka pintu . Pakaian
Abang Seman berlonggok atas lantai . Almari kosong dan seluruh bilik
berselerak.
Wajah Abang Seman merona merah. Matanya bersinar-sinar
dengan gigi terkancing rapat. Kelewang di celah dinding ditarik dan dia rempuh
siapa sahaja di depannya. Langkahnya panjang ke rumah Pak The Soh,bapa
saudaraku.
“ Sedi keluar kau,sedi! Aku tetak dengan kelewang ini.
Keluar!”
Pagi jadi rebut. Abang Semon mengamuk macam orang gila.
Tiada siapa yang berani dekat ,semuanya memandang dengan rasa gerun . Siapa pun
akan mengigil melihat mata kelewang yang putih berkilat itu. Benda itu tidak
kenal siapa kalau lapar.
“ Jangan pergi,Inah!” tegah Mak Nik. Aku tidak peduli apa
lagi. Tetaklah kalau Abang Seman berani.
“ Kau jangan dekat Inah ,Nampak benda ini?” Abang Seman
gertak kasar.Kelewang dilibas-libasnya . Matanya mencerlung bagai hendak
tersembul keluar.
“Tetaklah,Inah diajar berani apabila berada di jalan benar.
Inah bukan keturunan pengecut,bacul ! “ bentakku. Langkah makin dekat. Akhirnya
kelewang itu jatuh ke tanah . Abang Seman terduduk.
* * *
Pak Teo Soh membuka
pintu . Di sisinya berdiri Mak Teh Jenah yang masih berkemban gantung. Sedi
berdiri di belakang. Lelaki itu masih terpinga. Barangkali baru bangkit dari
tidur. Apabila sahaja Nampak Sedi,Abang Seman terus melompat naik dan
menariknya ke tanah. Abang Seman hentam Sedi sungguh-sungguh ,hingga lembik
macam kain buruk. Dahi Sedi berdarah dan menitik ke tanah. Aku tidak mampu
berbuat apa-apa . Tenaga Abang Seman jauh lebih kuat daripada tenaga
perempuanku.
Mak Teh Jenah teresak di sisi batang tubuh Sedi sudah tidak
bermaya. Aku hanya mampu memangku kepala Sedi setelah Abang Seman lari entah ke
mana.
“Sedi tak salah! Sedi tak buat ! Mana buktinya? Mana bukti
Sedi yang melakukan semua tu?” Mak Teh Jenab meraung hiba.
* * *
“ Abang Seman bertindak
ikutkan hati,Sedi tak salah!” Aku cuba membela Sedi. Mak Nik seperti
biasa,tidak banyak cakap.
“Kau mana tahu? Jangan nak bela keturunan sendiri . Selagi
kau dan Sedi ada dalam kampung ini, Selagi tu kampung ni tak aman!” bentaknya
dan turun tangga. Memang begitu perangainya. Dia tidak akan bertekak denganku
sehari suntuk.
“Kau nak ke mana Inah ?” Mak Nik bersuara apabila aku juga turut
membilang anak tangga. Langkah terhenti.
Aku memandang Mak Nik yang tercegat di muka pintu.
“ Ambil angin ,Mak Nik. Rumah ni panas sangat… “ kataku
bersahaja.
* * *
Sungai tetap sejuk dan
dingin seperti selalu. Airnya tetap jernih seperti yang kutinggalkan tiga tahun
lalu . Apabila kembali semula ke kampung kelahiran,aku seperti disingkirkan.
Kecurian berlaku meluas sekali. Lebih malang adalah Sedi,dia dituduh
melakukannya lantaran bergelar banduan.
Sebuah keluhan tidak cukup untuk mengembalikan kepercayaan
penduduk setempat, Kami amat asing di bumi sendiri. Keterasingan itu bermula
daripada fitnah yang mengatakan aku dan Sedi mencuri rantai leher Mak Nik.
Sumpah,aku tidak tahu langsung itu semua. Tetapi rantai itu ditemui di bawah
bantal Sedi. Sungguh, fitnah tidak mengenal sesiapa ! Kerana fitnah ayah telah
tiada,kerana fitnah juga kami jadi seperti sekarang. Alangkah seksanya!
Pucuk paku hijau dan muda. Barangkali penduduk di sini
sudah jemu makan sayur pucuk paku,maka ia dibiar tua begitu sahaja. Hati terasa
geram dan aku memungutnya dengan rakus sekali . Kain batik lepas kujadikan
pembungkusnya.
“Hey,Inah,buat apa hah? Pergi balik. Tak tahu bahaya,tak
reti takut. Kau ingat tempat ini selamat?” jerkah Abang Seman sedikit sebanyak
menggetarkan sendi lututku. Tanpa banyak bicara aku terus pulang. Tidak guna
bertekak dengan orang tidak cukup akal sepertinya,buang masa sahaja.
“Mana kau dapat pucuk paku ini?”Mak Nik nampaknya cemas
benar. Tangan terus menggetus pucuk paku untuk digoreng,pasti sedap!
“Tanah lembah tepi sungai tu… banyak betul, geram Inah,”
jawabku gembira. Tangan makin galak mengetus daun yang lembut itu.
“Tepi sungai? Masya-Allah budak ni….. dah tu,esok jangan
pergi lagi.” Cemas bunyi suara perempuan itu.
“Kenapa Mak Nik?” Aku jadi hairan dengan gelagatnya.
“Tempat itu berhantu,” bisik Mak Nik . Biji mataku seperti
ingin tersembur keluar. Tanganku segera menekup mulut yang ternganga
sendirinya.
“Dah tiga orang hilang di situ,tak tahu ke mana perginya.
Ramai orang dengar suara perempuan mengilai ketika bulan purnama. Kata mereka
,hantu raya ayah kau berkeliaran mencari tuan baru,” cerita Mak Nik separuh
berbisik. Mataku semakin lebar terbuka dan mulut ternganga tanpa disedari. Ayah
pelihara hantu raya? Ah,mustahil!
* * *
Tanah di baruh dan
darat tidak siapa yang usahakan. Tidak ada apa lagi yang mampu aku buat selain
turun dan bergelumang dengan lumpur. Sejak turun temurun keluargaku hidup
dengan mengerjakan tanah itu. Dan tidak mustahil untuk aku melakukan begitu
kerana aku anak petani.
“Aku akan bersama kau Inah,”janji Sedi.
“ Aku tidak menjanjikan apa-apa. Belum tentu projek itu
Berjaya,”kataku kemudian. Tanah baharu kupandang, Tentu sesuai untuk diternak
ikan air tawar.
“Sekalipun tidak ada gaji,aku sanggup,” katanya lagi.
“Kau tak takut kena panas,agas,selut,pacat? Kerja ini tak
kira masa,tak ada cuti ,” dugaku. Sedi senyum getir.
“Aku juga anak tani. Kalau kau boleh,kenapa pula aku tak
boleh? Aku ini lelaki,bukan pondan!” gurau Sedi.
Seminggu kemudian,pegawai pertanian datang dan melihat
tanah yang kami usahakan . Sebulan selepas itu,tebu,tembikai,jagung,pisang mula
menghijau. Ikan di baruh mula melompat riang. Hati jadi gembira.
* * *
Panas rupanya setakat
ini sahaja. Ikan di baruh terapung atas air. Jagung,pisang,tebu semuanya
ditebas orang. Tuhan! Dugaan apakah ini?
“Sabar Inah,kita usahakan lagi.” Kalau tidak kerana Sedi
,aku sudah gila dibuatnya. Semangat terasa melayang pergi.
* * *
“Kau balik bawa
sial,tahu tak?”Kasar suara Abang Seman . Lelaki itu cepat benar naik darah.
“Kerana ayah kau mati. Kerana kau kampung ni huru-hara,ada
perompak,ada penyamun,ada hantu pelesit,semuanya kerana kau!” Telunjuk dituding
ke mukaku. Darahku tersirap. Lagi-lagi itu yang diungkitkan. Ah,lelaki ini
sengaja cari nahas.
“ Inah tak akan keluar dari rumah ini,ini rumah Inah. Rumah
arwah emak Inah. Abang tak ada hak nak haling Inah. Selama ini abang yang
menumpang,abang yang patut pergi,bukan Inah!” Aku sudah hilang sabar. Aku juga
ada hati,punya perasaan,bukan tunggul mati!
“ Kau yang bunuh ayah,kemudian kau bolot semua harta ayah.
Itu tak adil,tak adil! Aku juga anaknya,aku juga berhak terima harta itu!”
laung Abang Seman. Dia naik minyak lagi.
“ Abang hanya anak tiri ayah. Abang harus sedar,abang dah
terima bahagian abang. Ayah bahagi sama rata.” Aku sudah pandai menjawab
sekarang . Ini semua kerana sikap biadab Abang Seman. Kalau tidak,aku masih
menghormatinya.
“ Ayah datang dulu sehelai sepinggang. Tapak rumah ini
tanah arwah mak. Tanah tepi sungai tanah arwah mak. Tanah belukar sebelah hulu
,barat dan baruh juga milik arwah mak. Mak dah tukar nama pada Pak Teh Soh dulu
lagi. Abang tak berhak mengambilnya.” Aku juga pandai mengamuk , boleh datang
angin dan reti naik darah.
“ Aku tahu tanah engkau.tapi siapa yang buat kalau tidak
aku? Rumah ni dah runtuh kalau aku tak baiki.” Makin lantang suara Abang Seman.
Kakinya dihentak ke lantai. Bergerimincing bunyi pinggan mangkuk berlaga dalam
almari. Tersentap juga hatiku dibuatnya.
“ Kalau abang dah jemu tinggal di sini,pergilah ke mana
abang suka. Inah boleh tinggal sendiri,” ugutku. Dan ternyata Abang Seman
menyambut cabaran itu.
“Kau jangan menyesal Inah.” Dia berlalu dengan rasa geram.
Aku terduduk di lantai. Tuhan…. Tabahkanlah hatiku ini!
“ Kau tak halau Mak Nik sama,Inah?” Aku tersentak. Wajah
sugul Mak Nik kupandang. Ada titis air jernih di matanya.
“ Mak Nik,Inah dah anggap Mak Nik dan Abang Seman macam
keluarga sendiri.Dari dulu lagi Mak Nik ganti arwah mak.”
“Tapi kauhalau dia?”
“Dia lelaki Mak Nik,biarlah berdikari.” Perempuan separuh
umur itu mengesat air mata yang tumpah dengan lengan baju yang dipakainya. Aku
jadi terharu.
“Selama kau tiada,Seman yang kerjakan tanah tu. Kerusi ini
Seman yang belikan,dinding robek Seman yang baiki.” Esak perempuaan itu menjadi.
Tuhan! Apakah aku berdosa melakukan ini semua? Aku tiba-tiba diburu rasa
bersalah.
* * *
Abang Seman tidak
balik-balik lagi selepas perang besar itu. Sudah tiga hari termasuklah hari
ini. Mak Nik kelihatan gelisah sekali. Dia bermandikan air mata mengenangkan
anak tunggal kesayanganya itu.
“ Biar aku saja pergi cari dia.” Sedi bersuara. Aku jadi
kaget. Wajahnya kupandang,dia memang sungguh-sungguh.
“Di mana?”
“ Tanah lembah tepi sungai,” sahutnya selamba.
“Jangan!” tegahku.
“ Mengapa?”
“ Ramai tak pulang bila ke sana.”
“ Tapi kau balik juga?” Aku mengeluh. Memang benar aku
tetap balik sekalipun sudah dua kali ke sana. Tak ada pun hantu?
“Kau tak takut?” dugaku.
“ Tuhan bersama orang yang benar.”
“ Aku bimbang.” Sedi berpaling. Pandangan berlaga. Lama
Sedi senyum mesra.
“ Jangan bimbang. Hantu raya tak hantu raya,aku tetap
pergi. Jangan biar aku ubah fikiran.”
“Kalau kau tak balik?”
“Ikut pandai kau… “ Aku mengeluh. Tidak guna menghalang
lelaki itu,dia tetap pergi juga.
“Jangan beritahu sesiapa,” pesannya dan bangkit. Parang
dicapai. Aku hanya mampu memandang langkahnya yang makin menjauh. Moga kau
selamat Sedi!
* * *
Mak Nik tetap seperti
itu juga. Termenung menangis dan merintih kerjanya. Makan tidak,minum juga
tidak. Badannya lemah dan dia hanya mampu terbaring di atas tilam. Pak Teh Seoh
hanya geleng kepala. Mak Teh Jenab tidak pulang sejak dua hari lepas. Matanya
menyaga kerana tidak cukup tidur.
“Kau dari mana Inah,basah berjeruk aku tengok?” tegur Pak
The Seoh . Terperanjat juga aku dibuatnya tetapi aku pura-pura basuh kaki di
tempayan tepi tangga.
“ Dari sungai,Pak Teh.”
“ Buat apa kau ke sana? Sudah… naik. Jangan pergi lagi.
Merayau saja kerjanya. Bahaya diri kau juga,” nasihat Pak Teh Soh. Aku buat
tidak tahu sahaja.
`Aku pun jadi hairan kenapa semua orang takut untuk ke
lembah tepi sungai itu? Betulkah ayah pelihara hantu raya dan kini sedang
mencari tuan baru? Mustahil sungguh! Seorang Tuk Imam macam arwah ayah bela
hantu raya? Gila! Memang semua orang dah gila . Semakin difikirkan,aku juga
akan jadi gila!
Aku dapat rasakan tanah di bahagian daratnya agak hijau dan
subur. Kawasan itu terjaga rapi. Daun-daun pokok itu hijau dan ditanam
berjajar. Pokok apakah itu?
Aku teringat daun itu kupetik dan sembunyikan dalam baju .
Aku masuk ke bilik dan mengeluarkannya. Puas diamati,tidak juga dapat
dipastikan jenisnya. Rasanya,aku tidak pernah lihat daun yang sebegitu. Pelik
sungguh! Dari mana datangnya pokok itu?
“Inah,kau buat apa lama sangat? Nasi belum ditanak lagi.
Mana tahu Mak Nik nak makan nasi pula hari ini.” Suara Mak Teh Jenab sayup di
ruang tamu. Cepat-cepat aku simpan daun itu dan terus ke dapur tanak nasi.
“Inah nak ke pecan hari ni,Mak Teh tolonglah tengokan Mak
Nik sekejap,”kataku kepada Mak Teh Jenab yang terguling atas kerusi set. Pak
Teh Soh hanya mendengar tanpa komen apa-apa. Dia seperti leka dengan rokok
daunnya. Asap dilepaskan berkepul-kepul ke udara.
“Kau nak buat apa? Dalam keadaan macam ni,sepatutnya kau
tak ke mana-mana,” kata Mak Teh Jenab. Sekapur sirih ditonyoh ke dalam mulut.
Giginya yang kehitaman dan tinggal beberapa batang itu segera menyungah.
“Inah nak beli buah dalam tin,mana tahu Mak Nik nak makan,”
dalihku. Aku rasa berdosa kerana tidak bercakap benar.
“Kedai Wak Dollah ada juga semua tu… “ komen Pak Teh Soh .
Aku mengeluh . Orang tua ini bukannya boleh ditipu,fikirku.
“Di sini baranya dah lama,entahkan bertahun. Kalau tak
sakit,tak ada orang beli.Kalau di pekan,boleh pilih baru lagipun Inah nak jumpa
kawan.” Aku makin pandai menipu. Mungkin keadaan memaksa aku jadi begitu. Mak
Teh nampaknya dapat menerima alasanku itu dan membenarkan aku pergi.
“Sedi tu dah dua malam tak balik. Buat perangai pulak budak
itu,” keluh Mak Teh Jenab. Aku pura-pura tidak mendengarnya dan turun ke
tangga. Kasut lusuh itu kupakai lagi.
“Takkan dia tak bagi tahu,selalunya tak buat perangai…”
sampuk Pak Teh Soh.
Aku berasa berdosa merahsiakan semua yang berlaku. Bukan
aku tidak bimbang tentang Sedi,bukan aku tidak risaukannya. Aku pun tak boleh
lelapkan mata apabila ingatkan Sedi. Entah bagaimana dia. Dan kerana Sedi ,aku
ke pekan tengah hari ini,ketika matahari membahang di atas kepala.
* * *
Abang Seman tercegat di
muka pintu ketika aku memijak anak tangga. Mukanya tetap bengkeng seperti
selalu,tetapi pada hari ini aku lihat kelainan pada sikapnya. Wajahnya murung.
Dia memandangku seperti ingin ditelannya . Memang kami tidak pernah sehaluan
,bersua sahaja perang akan letus. Sejak arwah ayah masih ada lagi perkara ini
berlaku,tetapi perangai Abang Seman tidak seteruk ini. Dia tahu ayah sayangkan
aku. Buah hati ayah ini payah benar hendak diusiknya,silap hari kena
marah.Tetapi sekarang,dia bebas lakukan apa sahaja.
Aku melangkah masuk tanpa sepatah kata,terus sahaja ke
dapur. Barang-barang yang baru kubeli diletak bertabur atas meja dan aku
menukar pakaian dalam bilik.
“Mak Teh mana?” tanyaku lembut.
“ Aku suruh di balik.”
“ Abang ni manusia apalah ,tak tahu kenang budi orang. Dua
hari dua malam mereka tak tidur jaga Mak Nik,senang saja abang halau mereka?”
“ Kau diam!”
Aku memang tidak kuasa untuk terus melayan kerenahnya.Aku
akan turut gila jika melawan angin gilanya. Lelaki itu memang tidak punya otak
agaknya!
Malam makin larut. Suara abang menyalak sayup-sayup di
hujung kampung dekat bukit. Bulan di dada langit kelihatan pucat dan tidak
bermaya,tidak sepertii malam semalam. Hati rasa lega apabila Mak Nik tidak
mengerang lagi. Petang tadi dia suda mula makan nasi air dan laici yang kubeli.
Buah limau dan epal juga dirasanya. Abang Seman hilang kembali selepas isyak.
Entah ke mana lesapnya,aku sendiri tidak tahu.
Mata terasa terlalu sukar untuk dilelapkan sekalipun badan
berasa amat letih . Keting pula berasa tegang seperti hendak putus akibat
berjalan jauh tengah hari tadi. Suara burung hantu bersahut lagi. Kali ini
makin galak dan kerap. Telinga ini menangkap suara bercakap-cakap. Makin lama
,makin hamper dan suara itu bukan sedikit. Jantung berdetap kencang seiring
dengan bunyi ketukan pintu. Darah seperti kering dan berhenti mengalir. Siapa
yang datang tengah malam setua ini?
Jendela kungangakan. Di muka tangga kelihatan
manusia-manusia yang membuat mataku ternganga lebar. Pintu tangga kubuka.
“Kenapa ,Abang Seman?” Aku terpinga melihat Abang Seman dan
kawan-kawannya digari. Inspektor Farid merapatiku.
“Kami terpaksa tahan dia .” beritahu inspector muda itu.
Sedi turut naik tangga dan duduk dekat kakiku . Aku makin tidak mengertib .
Lakonan apakah ini?
“Apa erti semuanya ini,Farid,Sedi?”
“Sebenarnya ,Semanlah punca segala angkara dalam kampung
ini. Dia yang mencuri ,dia juga yang jadi hantu tepi sungai tu,” terang tuk
penghulu.
Aku jadi terlalu terkejut. Betapa aku sendiri tidak
menduganya sama sekali. Seluruh sendi terasa longgar dan bakal bersepai
bila-bila masa sahaja. Ya Allah! Kenapalah Abang Seman jadi begini? Air mata
luahan rasa yang tepat untuk sekeping hati ini.
“Jadi Abang Semanlah jembalang sebenarnya? Abang tuduh
Inah,abang kata Sedi yang lakukan? Apa salah kami,apa dosa kami pada abang?”
Aku sudah tidak dapat mengawal perasaan lagi.
“Ikan di baruh terapung,tembikai di darat bersepai,itu pun
Abang Seman yang lakukan?” Aku ingin sahaja terjun ke tanah dan lanyak Abang
Seman,tapi Sedi lebih cepat menyambar tanganku . “ Tuhan.. apa ertinya ini?”
“Maafkan aku Inah,memang aku yang buat. Aku tak mahu kau
dan Sedi tahu perkara sebenar…. “ Akui Abang Seman . Aku terduduk.
“Kenapa abang lakukan?” Roh terasa melayang pergi.
“Kau punya segala,tapi aku?”
“Jadi Abang Seman curi rantai Mak Nik ,kemudian letak bawah
bantal Sedi?” Abang Seman angguk.
“Tuhan!kenapalah manusia ini menjadi sebegitu kejam?”
“ Kau berjaya dalam peperiksaan,ayah lebih sayangkan kau.
Semua tanah tu kau yang punya. Mana hak aku sebagai lelaki? Kau ingat aku
dayus? bentak Abang Seman.
“ Memang abang dayus. Ayah beri peluang belajar sama
saja,tapi abang main-main. Ayah juga sayangkan abang,tapi abang tak tahu
menilainya. Abang sengaja sakitkan hati ayah,abang sengaja buat perangai tak
senonoh..” tengkingku. Darah terasa panas mendidih.
“ Abang gelapkan masa depan Inah! Abang sanggup buat begitu
dengan harapan tanah itu jadi hak abang,tapi abang lupa tanah tu atas nama Pak
Teh Soh!” tengkingku lagi. Aku sudah tidak mampu untuk menyapu air mata yang
luruh.
Inah berjuang hingga cemerlang dalam SPM dan diterima masuk
university,tetapi semuanya hancur. Sekarang apa yang Inah dapat buat? Inah
tanam tebu,tembikai,pelihara ikan,abang musnahkan semuanya. Kenapa tidak bunuh
sahaja Inah ,biar Inah mati macam ikan tu? Abang boleh ambil semuanya,tidak
perlu susah-susah macam ni…”
“ Maafkan abang,Inah. Abang sedar ,kau terlalu baik untuk
disakiti. Mana Mak,Inah?”
“ Mak Nik tidur,jangan ganggu dia . Baru malan ni dia dapat
tidur selena itu” kataku sambil menyapu air mata. Sebolehnya aku tidak mahu
melihat muka Abang Seman lebih lama lagi,biarlah dia segera dibawa pergi.
Hatiku sudah lumat keranya!
“ Aku tahu kau baik,Inah. Hanya pada kau Mak Nik boleh
menumpang. Kau jagalah dia yang dah tua tu…” Abang Seman bersuara perlahan.
Hati perempuanku jadi malu,dan aku jadi terlalu kasihan
pada lelaki malang ini. Ah,Mak Nik juga yang silap,terlalu memanjakan dia.
Alangkah baiknya kalau dia menyedarinya sejak dulu.
“Apa yang bising ni,Inah?” Mak Nik tiba-tiba sahaja muncul.
Aku cepat-cepat menghapuskan air mata di pipi dan bangkit . Mak Nik kupimpin ke
tangga.
“ Kena apa dengan Seman tu?” Suara Mak Nik masih garau
lagi. Semua orang menyepi. Mak Nik sentap tanganku kuat-kuat.
“Kenapa dengan Seman?” Suara Mak Nik berubah. Aku jadi
serba salah. Perlukah aku terangkan segalanya kepada ibu tua ini? Dapatkah dia
menerimanya nanti atau menuduh aku sahaja?
“ Mak Nik,yang salah tetap salah. Biarlah undang-undang
yang menentukan,” kataku perlahan.
“ Cakap ,Inah , apa yang dah berlaku? Apa dah jadi ni?” Mak
Nik seperti sudah dirasuk hantu. Suaranya lantang mendesakku. Aku sudah tidak
mampu untuk berkata lagi . Air mata perempuanku bukan boleh disekat melihat
kelakuan ibu yang terlalu sayangkan anak tunggalnya itu.
“ Kami terpaksa bawa Seman ke balai polis atas tuduhan
mencolek,pecah rumah,mencuri dan memusnahkan tanaman Inah,serta… menanam ganja
di tanah lembah tepi sungai tu,”terang Inspektor Farid yang dahulunya teman
sekelasku.
Mak Nik meraung. Dia terduduk di tangga dengan rintihnya.
Malam yang telah merangkak ke pagi jadi terlalu hiba. Mak Nik menangis
sungguh-sungguh . Bulan semakin sebam ketika Abang Seman diheret pergi.
( 3214 patah perkataan)